fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas di Johor Bahru menurun, PPS kekal dua

JOHOR BAHRU, 21 Ogos- Jumlah penduduk terjejas banjir di Johor Bahru, Johor sehingga tengah hari ini turun kepada 76 orang daripada 25 keluarga, berbanding 86 orang daripada 29 keluarga pada pagi tadi.

Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pula masih kekal dua, melibatkan Dewan Raya Kampung Melayu Batu Sepuluh dan Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara.

Menurut kenyataan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, seramai 42 penduduk terjejas daripada 16 keluarga ditempatkan di SK Bukit Mutiara sejak 8.00 malam semalam.

Sementara di Dewan Raya Kampung Melayu Batu 10 menempatkan 34 orang daripada sembilan keluarga.

Tinjauan RTM di lokasi mendapati air telah surut dan beberapa penduduk mula membersihkan kediaman masing-masing.

Bagaimanapun cuaca mendung menyebabkan kebanyakan penduduk masih belum dibenarkan pulang ke rumah.

Penduduk yang ditemui di PPS memaklumkan, hujan berterusan sejak petang semalam selain pintu air Sungai Skudai dibuka akibat melimpah, menyebabkan banjir di kawasan perumahan mereka.

Malah ada yang terpaksa naik ke bumbung rumah bersama bayi, sebelum diselamatkan, kira-kira satu jam kemudian.

Media Baharu