fb fb fb fb fb

Menyemarak Bulan Kebangsaan, 600 penduduk Klang meriahkan acara

(Usia bukan penghalang buat Shamsul Teng, 74 tahun, teruja melihat kemeriahan program kemerdekaan yang diadakan pagi tadi)

KLANG, 21 Ogos - Gagah berkayuh sejauh tiga kilometer, warga emas, Shamsul Teng, 74, antara peserta acara perarakan sempena Bulan Kebangsaan dalam Program Hari Klang Tanpa Kenderaan - versi hari merdeka yang diadakan di Padang Laman Seni Safari, Jalan Dato' Hamzah Klang, di sini hari ini.

Program melibatkan hampir 600 penduduk dari sekitar daerah Klang itu menampilkan keunikan dalam menyemarakkan semangat perpaduan dan patriotik.

Beberapa peserta dilihat mengenakan pakaian bertemakan bendera Malaysia, pakaian seragam tentera, dan busana tradisi sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk persembahan deklamasi sajak, pertandingan permainan tradisional seperti congkak, batu seremban dan pertandingan melukis kolum.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, TPr. Hajah Noraini Roslan berkata, tujuan program diadakan bagi menyatupadukan dan menyemai rasa kebersamaan antara penduduk di kawasan warisan dan bangunan bersejarah sekitar Istana Alam Shah.

Program yang memilih konsep mesra alam selaras sasaran mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang dihasilkan oleh kenderaan.

Tambahnya, program ini juga merupakan antara persediaan pihaknya dalam menuju ke aras yang lebih istimewa apabila daerah Klang bakal menjadi Bandaraya Diraja pada 2024.

Antara agensi kerajaan terlibat termasuk Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Antidadah Kebangsaan, serta Jabatan Perpaduan dan Intergriti Nasional.

" Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam penganjuran program bersama Majlis Daerah Klang dan Jabatan Penerangan Malaysia daerah Klang ini, agensi-agensi kerajaan termasuk dari pihak swasta dan kesemua peserta serta pengunjung," di sini hari ini.

(Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Noraini Roslan dalam sesi ucapan perasmian program Hari Klang Tanpa Kenderaan)

Turut hadir, Orang Besar Daerah Klang, Dato' Setia Mohammed Khusrin.

Pengunjung juga dapat menikmati akses internet menerusi kemudahan wi-fi yang menggunakan teknologi sambungan tanpa wayar generasi kelima (5G) yang disediakan syarikat Telekom Malaysia Berhad secara percuma.

Media Baharu