fb fb fb fb fb

Kerajaan akan umum sesuatu ceriakan penjawat awam 30 Ogos ini

PUTRAJAYA, 21 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan, sesuatu yang menceriakan akan diumumkan buat penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan pada 30 Ogos nanti.

Beliau berkata, ia bagi menghargai jasa dan pengorbanan golongan itu yang sentiasa komited dan berdedikasi ketika menjalankan tugas.

"Sepertimana kita semua ketahui, negara kita kerap kali dilanda musibah bencana alam seperti banjir besar yang tidak dijangka begitu juga dengan ancaman keselamatan termasuk di perbatasan negara.

Di saat negara sedang mengalami kesusahan, pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan pelbagai agensi kerajaan lain bertugas tanpa lengah dan penuh dedikasi," katanya ketika berucap merasmikan Simposium Keluarga Malaysia : Pencapaian dan Harapan di sini.

(Datuk Seri Ismail Sabri merasmikan Simposium Keluarga Malaysia : Pencapaian dan Harapan di sini)

Datuk Seri Ismail Sabri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas kesihatan yang bertungkus lumus dalam menyelamatkan nyawa pesakit COVID-19 tatkala wabak itu melanda negara.

"Saya mewakili kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas-petugas kesihatan yang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa-mangsa COVID-19, sesungguhnya banyak sekali cerita kesedihan petugas-petugas kesihatan kita yang berkorban jiwa raga dan nyawa dalam menangani COVID-19.

Jasa dan pengorbanan mereka semua sebagai 'Wira Tidak Didendang' akan terus terpahat dalam lipatan sejarah," katanya lagi.

Selain itu, Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan Keluarga Malaysia turut menghargai sumbangan para aktivis masyarakat yang cekal berkhidmat kepada negara khususnya melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Media Baharu