
ISTANBUL, 9 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan sasaran perdagangan dua hala bernilai US$10 bilion antara Malaysia dengan Turkiye mampu dicapai, didorong pelaksanaan program serta pelaburan yang kini menunjukkan pertumbuhan positif.
- Inisiatif perdagangan dan pelaburan berjalan menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
- Projek baharu dan pelaburan memberi momentum capai sasaran perdagangan lebih cepat.
- Malaysia dipromosi sebagai destinasi pelaburan dalam semikonduktor, AI, pusat data dan teknologi baharu.
Beliau berkata keyakinan itu disokong oleh beberapa inisiatif perdagangan dan pelaburan yang sedang berjalan, termasuk projek baharu yang mula menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
“Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani tentunya telah memperincikan dari segi perdagangan dan kita melihat pelbagai program, projek serta cadangan pelaburan yang sudah bermula dan berkembang, sekali gus menunjukkan keupayaan kita untuk mencapai sasaran tersebut lebih cepat daripada jangkaan awal,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian dalam sidang media bersempena lawatan rasmi beliau ke Republik Turkiye sebelum berlepas pulang ke tanah air.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Turkiye sebagai sebuah negara yang memiliki ekonomi kukuh dan berdaya tahan.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia pula terus muncul sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi, khususnya dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan, pusat data, teknologi baharu serta industri nadir bumi.