fb fb fb fb fb

PM yakin kerjasama Malaysia-Arab Saudi terus ditingkatkan

(Foto Fb Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 3 April- Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi merakamkan penghargaan atas undangan kerajaan Arab Saudi untuk melawat negara itu dalam tempoh yang singkat selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Lawatan rasmi ke negara Asia Barat itu pada 22 hingga 24 Mac lepas merupakan lawatan negara luar ASEAN pertama beliau selepas mengangkat sumpah memegang jawatan pada 24 November tahun lepas.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya malam ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan hubungan Malaysia-Arab Saudi termasuk dalam urusan perniagaan, perbankan dan kegiatan Islam terjalin dengan sangat baik.

“Saya percaya kerjasama Malaysia-Arab Saudi akan terus diperkasakan menerusi pelbagai lapangan sekali gus memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Dalam lawatan rasmi tiga hari ke negara itu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Sheikh Dr Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan Arab Saudi di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam, di Jeddah dan menyaksikan majlis menandatangani tiga Perjanjian Persefahaman melibatkan syarikat swasta Malaysia dan Arab Saudi.

Anwar dan delegasi juga sempat mengerjakan umrah di Makkah dan ziarah di Madinah serta beramah mesra dengan rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, Makkah dan Madinah dalam program iftar.

Pada tahun 2022, Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar negara di rantau Asia Barat dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah RM45.52 bilion (US$10.26 bilion), peningkatan sebanyak 159.2% berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, eksport negara ke Arab Saudi meningkat sebanyak 43.8% berjumlah RM7.28 bilion (US$1.66 bilion), manakala, jumlah import negara dari Arab Saudi mencatatkan peningkatan 205.8% kepada RM38.24 bilion (US$8.60 bilion).

(Foto Fb Anwar Ibrahim)

 

Media Baharu