PM umum tujuh inisiatif untuk peneroka FELDA

Facebook Anwar Ibrahim

MARAN, 7 Julai- Sebanyak tujuh inisiatif baharu diumumkan kerajaan sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA hari ini termasuk peruntukan RM990 juta bagi membiayai semula pinjaman Sukuk FELDA serta penghapusan hutang peneroka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memperuntukkan lebih RM1 bilion tahun hadapan untuk meneruskan bantuan kepada peneroka FELDA.
  • Keutamaan diberikan kepada generasi baharu FELDA termasuk penyelesaian isu perumahan mereka.
  • Kerajaan memulihkan model jualan minyak sawit mentah kepada sistem asal, menjana manfaat tambahan kira-kira RM42 juta melalui KPF.
  • Peruntukan RM450 juta selama tiga tahun untuk baik pulih dan pembinaan rumah petugas FELDA secara berperingkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan turut memperuntukkan lebih RM1 bilion pada tahun hadapan bagi meneruskan usaha membantu peneroka FELDA.

Beliau berkata keutamaan turut diberikan kepada generasi baharu FELDA termasuk penyelesaian isu perumahan yang menjadi antara kebimbangan golongan berkenaan.

“Saya telah berbincang dengan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri termasuk Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail). Kami mendengar sendiri keluhan dan rintihan peneroka setiap kali turun ke kawasan FELDA.

“Sebab itu hari ini saya tidak mahu sekadar bercakap mengenai hak. Sebaliknya, saya mahu menggunakan kesempatan ini untuk mengumumkan keputusan kerajaan yang memberi manfaat secara langsung kepada para peneroka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata kerajaan turut bersetuju mengembalikan semula model penjualan minyak sawit mentah kepada sistem asal, yang dijangka memberi manfaat tambahan sehingga RM42 juta kepada peneroka melalui Koperasi Permodalan FELDA (KPF).

Selain itu, kerajaan meluluskan peruntukan RM450 juta bagi tempoh tiga tahun untuk projek baik pulih dan pembinaan baharu rumah petugas FELDA secara berperingkat.

Bagi meningkatkan literasi digital dalam kalangan warga FELDA, sebanyak RM15.85 juta turut disalurkan melibatkan 317 tanah rancangan FELDA yang masing-masing menerima RM50,000.

Kerajaan turut memperuntukkan RM10 juta bagi kerja pembaikan sekolah di seluruh FELDA serta tambahan RM3 juta kepada pasukan kesihatan Skuad Maya FELDA.

Perdana Menteri berkata inisiatif berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peneroka, generasi baharu dan petugas FELDA bagi meningkatkan taraf hidup serta memastikan kelangsungan FELDA.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam sambutan itu, Felda Kemahang 3, Gua Musang berjaya merangkul Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA dengan membawa pulang hadiah RM1 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.