
PETALING JAYA, 7 Julai – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memperkukuh strategi kandungan digital bagi menarik perhatian Generasi Z dan Generasi Alpha, selaras dengan perubahan tabiat penggunaan media serta perkembangan teknologi.
- RTM menyesuaikan pendekatan penyampaian kandungan sebagai penyiar awam untuk kekal relevan dalam landskap media yang kompetitif.
- Cabaran utama ialah memastikan kandungan mampu menarik perhatian generasi muda.
- RTM menggunakan acara antarabangsa seperti Piala Dunia FIFA 2026 untuk perkenalkan platform RTM Klik kepada penonton baharu.
- Memperluas kerjasama dengan pencipta kandungan, wartawan dan pemain kreatif bagi hasilkan kandungan lebih segar memenuhi kehendak penonton.
Ketua Pengarah RTM, Ashwad Ismail berkata, sebagai penyiar awam penyesuaian pendekatan penyampaian kandungan adalah perlu agar kekal relevan dalam landskap media yang semakin kompetitif.
“Dalam kalangan generasi muda, cabaran utama adalah bagaimana memastikan kandungan yang dihasilkan mampu menarik perhatian generasi ini.
“Justeru, RTM melaksanakan pelbagai inisiatif, contohnya melibatkan acara berskala global seperti Piala Dunia FIFA 2026 bagi memperkenalkan platform RTM Klik kepada generasi baharu, sekali gus membina hubungan jangka panjang dengan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel dalam sesi perbincangan sempena Festival Kandungan Asia-Pasifik (CON-FEST) 2026 anjuran Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU), di sini, hari ini.
Ashwad berkata, RTM juga memperluaskan kerjasama dengan pencipta kandungan, wartawan dan pemain industri kreatif bagi menghasilkan kandungan yang lebih segar serta memenuhi kehendak penonton.
Menurutnya, RTM bukan sekadar menyampaikan maklumat kepada rakyat, malah turut berperanan memperkukuh ekosistem industri media supaya terus berkembang dan kekal relevan.