16 pasukan berentap Kejohanan Gendang 24 Perayaan 8 Ogos depan

Sekolah pertama yang menubuhkan pasukan Gendang 24 Perayaan pada 12 Jun 1988

SHAH ALAM, 7 Julai – Sebanyak 16 pasukan sekolah terbaik dari seluruh negara bakal berentap pada Kejohanan Jemputan Sekolah Rendah Gendang 24 Perayaan Peringkat Kebangsaan 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak, pada 8 Ogos depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan julung kali peringkat sekolah rendah sebagai usaha KPM memperkasa aktiviti kokurikulum.
  • Penganjuran bertujuan memelihara dan memartabatkan warisan budaya negara.
  • Gendang 24 Perayaan kini diiktiraf sebagai aktiviti rasmi Kementerian Pendidikan.
  • KPM akan mengumpul data penyertaan dan melaksanakan latihan jurulatih bersama Persatuan Gendang 24 Perayaan Malaysia.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kejohanan julung kali diadakan di peringkat sekolah rendah itu merupakan usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memperkasa aktiviti kokurikulum.

Pada masa sama, beliau berkata, penganjuran kejohanan berkenaan turut bertujuan memelihara dan memartabatkan warisan budaya negara.

“Kejohanan ini menghimpunkan penyertaan pasukan dari semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Gendang 24 Perayaan telah menjadi kebanggaan dan sebahagian daripada warisan budaya negara. Persembahan ini ataupun budaya ini berasal dari negara tercinta kita, negara Malaysia,” katanya pada sidang media di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pin Hwa 1 di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh

Katanya, bermula tahun ini, Gendang 24 Perayaan turut diiktiraf sebagai aktiviti rasmi kementerian sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada sekolah membangunkan bakat murid menerusi seni persembahan tersebut.

Katanya, antara inisiatif kementerian ialah mengumpul data penyertaan Gendang 24 Perayaan di sekolah serta melaksanakan latihan jurulatih utama bersama Persatuan Gendang 24 Perayaan Malaysia.

Gendang 24 Perayaan yang diasaskan di Malaysia pada 1988 dan diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan Tidak Ketara sejak 2009.

Menurut Jabatan Warisan Negara, persembahan ini diilhamkan khususnya daripada 24 musim dalam kalendar Cina dengan persembahan ini bukan sahaja menonjolkan kepakaran dalam mengawal rentak dan irama gendang, tetapi juga memperlihatkan koreografi yang teratur serta penuh semangat melambangkan semangat perpaduan, kerjasama dan kebersamaan sesuai dengan masyarakat Malaysia berbilang kaum.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.