
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberikan pelepasan cuti khas kepada pelajar Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) yang perlu pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK).
- BPKB telah mengeluarkan surat kepada semua Pengarah ILKBS supaya mempertimbangkan permohonan pelepasan cuti khas bagi membolehkan pelajar menunaikan tanggungjawab mengundi.
- Permohonan akan dipertimbangkan berdasarkan lokasi pusat mengundi, tempoh perjalanan munasabah dan penyelarasan jadual latihan, tertakluk kepada kelulusan Pengarah ILKBS.
- Semua ILKBS diarahkan membuat hebahan awal supaya permohonan dikemukakan lebih awal, perjalanan dirancang lancar dan institut mengurus rekod kehadiran, kebajikan serta keselamatan pelajar.
Dalam satu kenyataan, KBS memaklumkan Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB) telah mengeluarkan surat pemakluman kepada semua Pengarah ILKBS supaya memberi pertimbangan terhadap permohonan pelepasan cuti khas bagi membolehkan pelajar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Menurut KBS, setiap undi memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan negara dan pelajar tidak seharusnya berdepan dilema antara mengikuti latihan kemahiran dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara.
Permohonan pelepasan cuti khas akan dipertimbangkan berdasarkan lokasi pusat mengundi, tempoh perjalanan yang munasabah serta keperluan penyelarasan jadual latihan dan pembelajaran, tertakluk kepada kelulusan Pengarah ILKBS.
KBS turut menjelaskan langkah itu membolehkan pihak institut menguruskan rekod kehadiran secara lebih sistematik di samping memastikan aspek kebajikan dan keselamatan pelajar terus diberi perhatian.
Pada masa sama, semua ILKBS diarahkan membuat hebahan awal kepada pelajar yang layak mengundi bagi membolehkan permohonan dikemukakan lebih awal dan urusan perjalanan pulang ke kawasan mengundi dapat dirancang dengan lebih lancar.
KBS turut menyeru semua pelajar ILKBS yang layak mengundi supaya menggunakan hak mereka secara bertanggungjawab serta menjadi sebahagian daripada generasi belia yang aktif menyumbang kepada pengukuhan demokrasi dan pembangunan negara.