BATU KAWAN 19 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan prestasi cemerlang kementerian itu dalam melaksanakan agenda penyatuan nasional.
Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap komitmen dan kemampuan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dalam memperkukuh keharmonian antara kaum di negara ini.
“Berilah peruntukan tambahan RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan. Mereka tunjuk prestasi baik. Kita sokong usaha yang membawa penyatuan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Batu Kawan.
Beliau menambah bahawa, permintaan peruntukan tambahan dibuat berdasarkan pencapaian program dilaksanakan kementerian yang telah memberi kesan positif dalam usaha merapatkan jurang sosial serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
“Program-program yang disebut tadi sudah membuktikan kejayaan. Bila saya tengok pencapaian, saya setuju berikan segera peruntukan tambahan RM10 juta,” katanya lagi.
Selain itu, Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa perpaduan nasional bukan hanya slogan politik, tetapi memerlukan komitmen yang nyata dalam bentuk program akar umbi, pendidikan, dialog antara budaya dan sokongan kewangan berterusan.
Tambah beliau, Kementerian Perpaduan telah menunjukkan kemajuan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi di seluruh negara dan kerajaan akan terus menyokong usaha tersebut sebagai sebahagian daripada agenda besar Malaysia Madani.