PERMATANG PAUH, 19 Julai - Lapan Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi yang baharu dijadual mengangkat sumpah pada 28 Julai ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses pelantikan kesemua hakim itu telah melalui semua peringkat dari awal, termasuk penilaian oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Majlis Raja-Raja, serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Ini sekali gus menepis dakwaan yang timbul berkait pemecatan hakim.
Tegas beliau, tiada hakim yang dipecat sepertimana digambarkan oleh sesetengah pihak, sebaliknya proses pemilihan hakim baharu dilaksanakan dengan teliti dan penuh hormat kepada sistem Raja Berperlembagaan.
"Lapan Hakim Mahkamah Rayuan telah dilantik dua bulan yang lalu dan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, namun perlu menunggu mesyuarat Majlis Raja-Raja. Jumlah Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik seramai 14 orang, manakala Hakim Mahkamah Rayuan yang dilantik pula seramai lapan orang. Namun yang telah diumumkan seramai tiga orang," katanya.
Perdana Menteri berucap dalam Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKP Sdn Bhd di Dewan Besar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid; serta Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ramli.