fb fb fb fb fb

PM janji keputusan segera isu persimpangan Juru, pelaksanaan projek tahun ini

Foto BERNAMA

BATU KAWAN, 19 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan keputusan mengenai cadangan menaik taraf Persimpangan Juru, Pulau Pinang akan diumumkan dalam tempoh terdekat dan pelaksanaan projek dijangka bermula dalam tahun ini.

Menurut beliau, kerajaan sedang meneliti semula pelbagai aspek projek yang dilaporkan membabitkan kos yang tinggi, termasuk perbincangan bersama syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Berhad bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Insya-Allah dalam dua, tiga, empat hari ini saya akan buat pengumuman. Saya sedaya upaya akan usahakan untuk melegakan rakyat. Saya sudah mendengar banyak keluhan berkaitan kesesakan di Juru termasuk komen seperti ‘PMX lalu mana dia tahu sesak’. Semuanya saya sudah dengar,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam satu majlis baru-baru ini.

Persimpangan Juru yang merupakan laluan utama ke utara Semenanjung sering dikaitkan dengan kesesakan lalu lintas teruk, terutama pada waktu puncak dan musim perayaan. Ia bukan sahaja menjejaskan penduduk Pulau Pinang, malah pengguna dari Kedah dan Perlis.

“Ini bukan untuk Pulau Pinang sahaja. Orang Kedah, orang Perlis pun terlibat. Kita bincang balik dengan PLUS sebab kos tinggi, tapi insya-Allah kita akan luluskan. Bila saya umum nanti, maknanya tahun ini kita akan mula dan 2025 projek itu mesti jalan,” tambah Datuk Seri Anwar.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN