PM ucap takziah, tindakan tegas terhadap sindiket penyeludupan PATI

Foto FB Anwar Ibrahim


KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertekad tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap dalang dan sindiket penyeludupan warga asing, termasuk mana-mana pihak yang melindungi atau bersubahat dengan kegiatan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan terkorban ketika menghalang kemasukan PATI dan mempertahankan perairan negara.
  • Perdana Menteri dan isteri merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh warga Maritim Malaysia.
  • Pengorbanan anggota tidak boleh dibiarkan sia-sia; keselamatan penguat kuasa dan kedaulatan mesti terpelihara, pihak bersubahat dibawa ke pengadilan.

Ketegasan itu susulan pemergian anggota Unit Perisikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, yang terkorban ketika menjalankan tugas menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mempertahankan perairan negara.

“Sebarang cubaan menceroboh sempadan negara perlu ditangani dengan tegas bagi memastikan keselamatan anggota penguat kuasa serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara,” tegasnya menerusi hantaran beliau di Facebook.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak yang membiarkan atau bersubahat dalam pencerobohan kedaulatan negara mesti dibawa ke muka pengadilan.

Beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh warga Maritim Malaysia atas kehilangan anggota yang berkorban demi keselamatan negara.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pengorbanan Allahyarham tidak boleh dibiarkan sia-sia, manakala nyawa anggota keselamatan dan kedaulatan tanah air tidak seharusnya dipertaruhkan.

Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.