(FOTO: Twitter @anwaribrahim)
KUALA LUMPUR, 5 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah dan syabas kepada penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian atas penyampaian syarahan umum sempena pelantikannya sebagai Profesor Universiti Sains Malaysia (USM).
Menerusi ciapan di Twitter hari ini beliau berharap agar Sivamurugan dapat berkhidmat dengan lebih cemerlang serta menyumbang idea dan kepakaran kepada negara.
Sivamurugan menyampaikan Syarahan Umum Sempena Pelantikan Sebagai Profesor USM bertajuk Persetujuan dan Percanggahan Dalam Arena Politik Malaysia di Dewan Budaya, USM pagi tadi.
Syarahan beliau berkisar kepada perkembangan politik negara serta memberi tumpuan kepada evolusi pertukaran anggota 'gabungan' dan pegangan politik yang berubah mengikut peredaran masa.
Ia berpandukan tiga perkara yang mendasari politik tanah air iaitu politik adalah seni segala kemungkinan, politik angka dan tiada musuh atau lawan yang kekal, hanya kepentingan yang tidak berubah.
Sivamurugan merupakan penganalisis politik yang sering ditemu bual oleh pengamal media dalam dan luar negara.
Beliau pernah dinobat sebagai Ikon Patriotik, Tokoh 1Malaysia dan pelbagai pengiktirafan lain.
Selain itu beliau turut berperanan memegang beberapa portfolio penting termasuk Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Majlis Penasihat Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Naib Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur.
(FOTO FAIL/ BERNAMA)