fb fb fb fb fb

PM ucap tahniah kepada pelajar SMKA Kuala Selangor, raih emas

(Ucapan tahniah daripada Datuk Seri Ismail Sabri)

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) (SMKA) Kuala Selangor yang berjaya meraih pingat emas pada Pameran Perdagangan Antarabangsa, Penciptaan Produk dan Idea Baharu (IENA) 2022 di Nuremberg, Jerman pada Sabtu.

Menerusi satu catatan Facebooknya, Perdana Menteri berharap, "kejayaan pasukan sekolah itu akan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar lain untuk turut terlibat dalam inovasi dan reka cipta sehingga menggapai kejayaan.

"Tahniah kepada ahli-ahli pasukan terdiri daripada Athirah Ahmad Hisshamuddin, Raja Dhia Nazneen Insyirah Raja Mohd Aman Shah, Nur Damia Bisyara Muhammad Imran dan Sarah Ardinie Khairul Faizi.

"Saya difahamkan pasukan ini telah menewaskan 490 pasukan dari 250 sekolah di seluruh dunia dalam IENA 2022 ini. Syabas saya ucapkan," tulisnya dalam satu hantaran di facebook.

Dua guru yang mengiringi empat pelajar berkenaan iaitu Mohd Ridzuan Mohammad dan Mohd Zulhelmi Mansor, turut meraih Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Untuk Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg dalam pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 Oktober lepas.

IENA merupakan pameran inovasi tertua di dunia yang dipertandingkan sejak lebih 70 tahun lepas bersempena pameran perdagangan.

Ia mengetengahkan pelbagai ciptaan dan inovasi baharu terbesar di dunia.

(Tangkap layar ucapan Ismail Sabri di facebook)

Berita berkaitan :
IENA: SMKA Kuala Selangor kekal kecemerlangan, rangkul pingat emas di Jerman

 

Media Baharu