(Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Tan Sri Annuar Musa hadir pada
Majlis Anugerah Seri Angkasa 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)
PUTRAJAYA, 31 Oktober- Anugerah Seri Angkasa (ASA) akan diteruskan pada masa akan datang dengan penambahan lebih banyak kategori termasuk media sosial.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata ASA ialah platform bagi menghargai penggiat industri kreatif tempatan.
“Mesti teruskan program kita sudah hidupkan semula dan akan diteruskan dengan lebih meriah lagi.
"Saya puas hati bahawa semua orang gembira. Yang penting supaya industri penyiaran berkembang, makin ramai orang suka sertainya,” katanya kepada Bernama di sini.
Annuar juga berpuas hati dengan penganjuran acara berprestij yang berlangsung dua hari bermula semalam itu.
(Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Tan Sri Annuar Musa (tengah) hadir pada Majlis Anugerah
Seri Angkasa 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Majlis turut dihadiri
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin (kiri) serta Ketua Setiausaha
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek(kanan)
Idea bagi penjenamaan semula ASA dicetuskan Annuar yang turut memperkenalkan Dana Kandungan Digital sebagai hadiah rebutan selaras dengan langkah di bawah Pelan Pemulihan Negara yang bertujuan membantu serta menggalakkan pengamal industri kreatif menghasilkan, memasarkan serta mengedar kandungan kreatif kepada pasaran tempatan dan antarabangsa terutamanya dalam fasa pasca-COVID-19.
ASA dahulunya dikenali sebagai Anugerah RTM, yang dicetuskan Kementerian Penerangan pada 1972, bertujuan mengiktiraf penggiat penerbitan program radio dan televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).-BERNAMA