fb fb fb fb fb

Insiden Sungai Korok: Identiti mangsa sudah dikenal pasti

Mayat enam sekeluarga yang dipercayai hilang sejak Sabtu lepas, ditemukan di dalam sebuah kereta di dalam Sungai Korok, dekat Jitra hari ini.

ALOR SETAR, 7 Julai -Polis telah mengenal pasti identiti keenam-enam mangsa yang terlibat dalam kejadian kemalangan kereta terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Korok, Jitra. 

Mangsa ialah pasangan suami isteri Muhammad Azim Izat Ishak, 32, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana, 8, Anayla Huma'ira, 7, dan Tuah Haidar, 6 bulan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kesemua mayat ditemukan di dalam kereta di dalam sungai di Jalan Sungai kubang Sepat, Simpang Tiga Kemboja pada pukul 9.00 pagi.

Beliau yang ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah berkata, polis menerima laporan kehilangan keenam-enam mangsa itu pada Sabtu lepas oleh ahli keluarga.

Kehilangan Muhammad Azim Izat, isteri, serta empat anak mereka itu disedari apabila tidak pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah ahli keluarga yang lain di Taman Aman di Jitra.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI