fb fb fb fb fb

ASA 2022: Seniwati Fauziah Nawi dinobat Tokoh Seri Angkasa

(Fauziah Nawi menerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 ketika ditemubual Berita RTM)

PUTRAJAYA, 31 Oktober- Seniwati Fauziah Nawi menerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA2022).

Beliau menerima trofi serta hadiah berupa wang tunai bernilai 10 ribu ringgit dan sebuah kereta Mitsubishi Xpander.

Fauziah yang mesra disapa ibu kelihatan terkejut dengan hadiah kereta yang diumumkan pada saat-saat akhir, ternayata sebak dan terharu.

"Alhamdulillah Allah makbulkan kereta untuk saya.Terima kasih.

"Saya sebenarnya sebak sebab saya tidak pernah mengharapkan apa-apapun, saya cakap terus-terang, saya sebenarnya tidak pernah mengharapkan diberi anugerah, saya masuk industri seni ini, saya lakukan kerana saya suka, ini adalah jiwa saya," katanya.

Tambahnya, sebagai sumbanganyga kepada dunia seni tanah air, beliau berkata syarikatnya Stefani Events adalah cara menyalurkan ilmu yang dimilikinya untuk melatih bakat-bakat baharu.

Anugerah itu disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

(Pemenang Anugerah Tokoh Seri Angkasa, Pelakon terkenal, Fauziah Nawi menyampaikan ucapan selepas
menerima anugerah dari Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Tan Sri Annuar Musa pada Majlis Anugerah
Seri Angkasa 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)


Selain itu, dua anugerah kemuncak iaitu Dokumentari TV Terbaik dimenangi Social Playlist oleh Herbert Pua Kuo Jie membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM150,000

Drama TV Terbaik pula dimenangi Pencipta Pegang Waktu oleh Nor Shahila Harun Shah dan membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan DKD sebanyak RM200,000.

Pemberian DKD ialah selaras dengan Pelan Pemulihan Negara yang bertujuan membantu serta menggalakkan pengamal industri kreatif menghasilkan, memasarkan dan mengedar kandungan kreatif yang tinggi nilainya kepada pasaran tempatan serta antarabangsa terutama dalam fasa pasca-COVID-19.

ASA 2022 kembali setelah menyepi enam tahun dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

Acara berprestij itu berlangsung selama dua hari yang bermula semalam bertujuan meraikan penggiat seni dan para karyawan.

Program dua hari bertemakan 'Kemuncak Kecemerlangan' itu menyaksikan hadiah bagi pemenang 34 kategori disampaikan malam ini. 

Tema itu bersesuaian dengan usia anugerah berkenaan yang memasuki 50 tahun selain bertepatan hasrat K-KOMM untuk menjadikannya sebagai pemangkin dalam penghasilan karya bermutu industri penyiaran khususnya di peringkat nasional.

ASA dahulunya dikenali sebagai Anugerah RTM, yang dicetuskan Kementerian Penerangan pada 1972, bertujuan mengiktiraf penggiat penerbitan program radio dan televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

 

Media Baharu