RIO DE JANEIRO, 7 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Vietnam Pham Minh Chinh mengadakan pertemuan di sini hari ini.
Kedua-dua pemimpin berada di bandar kedua terbesar Brazil itu bersempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS yang berlangsung selama dua hari.
Pertemuan mereka sebelum ini adalah semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei lepas.
Datuk Seri Anwar diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani.
Malaysia merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Vietnam dalam ASEAN dan kesembilan terbesar di dunia.
Perdagangan dua hala kedua-dua negara terus meningkat mencecah RM59.5 bilion (US$14.2 bilion) pada 2024 dengan sasaran RM76 bilion (US$18 bilion) tahun ini.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata pertemuan tersebut memberi ruang untuk kedua-dua pemimpin menilai tahap kemajuan kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dengan Vietnam merangkumi perdagangan, pelaburan, pertahanan, keselamatan, maritim, perikanan serta tenaga hijau dan petroleum.
"Saya turut membangkitkan keperluan memperkukuh kerjasama dalam menangani isu aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah.
"Saya juga menzahirkan harapan agar pendekatan yang lebih konstruktif dapat dirintis demi memastikan kelestarian sumber laut serta memelihara hubungan baik antara kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Anwar berkata Malaysia juga menyokong penuh potensi pelaburan dalam tenaga boleh baharu di selatan Vietnam termasuk inisiatif kabel dasar laut yang mampu memperkukuh jaringan tenaga dua hala.
Katanya ia seiring dengan aspirasi pembentukan Grid Kuasa ASEAN, sebuah infrastruktur untuk menjamin keselamatan tenaga dan pertumbuhan mampan.
"Saya menantikan pertemuan susulan bersama beliau di Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan Oktober nanti dalam usaha memperkukuhkan lagi hubungan strategik dan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dengan Vietnam," katanya. - BERNAMA