RIO DE JANEIRO, 7 Julai - Malaysia sekali lagi menggesa agar dunia tidak terus membisu terhadap jenayah kemanusiaan yang berlaku di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BRICS mesti bangkit sebagai suara keadilan sejagat, menolak segala bentuk penindasan dan menjunjung maruah insan.
Beliau membuat gesaan tersebut ketika mengambil bahagian pada hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS yang berlangsung di sini pada Ahad.
Sidang kemuncak itu memberi fokus kepada memperkukuh multilateralisme, reformasi dalam sistem ekonomi dan kewangan global, serta tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang beretika.
"Dalam sesi intervensi, saya tegaskan pendirian Malaysia bahawa masa depan dunia tidak harus dibelenggu oleh pertembungan blok atau perpecahan geopolitik, sebaliknya dibentuk melalui semangat kerjasama, perkongsian kemakmuran dan komitmen kolektif terhadap masa depan digital yang adil, selamat dan inklusif untuk semua," kata Perdana Menteri.
Setakat 3 Julai 2025, hampir 58,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam genosid Israel di Gaza.
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva semasa sesi Pentadbiran Global, Keamanan dan Keselamatan, turut bersuara mengenai konflik Gaza, Iran dan Ukraine.
“Pastinya tiada apa yang membenarkan tindakan keganasan oleh Hamas,” katanya.
Bagaimanapun, kita tidak boleh terus tidak ambil peduli terhadap pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel di Gaza, pembunuhan sewenang-wenangnya terhadap orang awam dan penggunaan kelaparan sebagai senjata perang," kata Lula.
Beliau berkata penyelesaian kepada konflik itu hanya boleh dilaksanakan dengan menamatkan pendudukan Israel dan menubuhkan negara Palestin yang berdaulat dalam sempadan 1967.
Kerajaan Brazil katanya turut mengutuk pencabulan integriti wilayah Iran, sama seperti yang dilakukan dalam kes Ukraine.
“Pihak yang terlibat dalam perang di Ukraine mestilah segera menggerakkan dialog secara langsung yang menyasarkan suatu gencatan senjata dan keamanan yang berpanjangan,” tambahnya.
Menurut Lula da Silva, kejayaan misi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Timor Timur menunjukkan bahawa ia mampu membawa keamanan dan kestabilan. - BERNAMA