fb fb fb fb fb

ISEP’25 tingkat jaringan mahasiswa antarabangsa dengan komuniti setempat

28 mahasiswa dari 3 universiti di Indonesia mengikuti ISEP’25 selama 2 minggu di Sintok bagi membina jaringan mahasiswa dengan komuniti setempat / Foto UUM

SINTOK, 7 Julai – Penganjuran “International Student Mobility Program” (ISEP’25), bukan sahaja meningkatkan jaringan mahasiswa antarabangsa dengan komuniti tetapi turut fokus kepada pembangunan modal insan dan kepimpinan pelajar.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad berkata, ISEP’25 yang berlangsung selama 2 minggu di kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, disertai 28 mahasiswa dari 3 universiti terkemuka Indonesia dan 45 peserta lagi terdiri daripada mahasiswa UUM.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sebagai platform antarabangsa kepada mahasiswa Universitas Mataram, Universitas Pancasila dan Universitas Mercu Buana bersama-sama mahasiswa SMMTC meningkatkan jaringan dan berbakti kepada komuniti.

“Mahasiswa terlibat berpeluang menyertai sesi sumbang saran, perkongsian idea dan pengalaman berkaitan budaya negara masing-masing menerusi program seperti Sintok Edu-Tourism, Cultural Night, Kedah Cultural Tour, Langkawi D’Tour dan projek komuniti. Mahasiswa Universitas Mataram, Rahma Suci Fadillah dan Lalu Fatih Arjuwan dari Universitas Mataram dipilih sebagai Peserta Terbaik ISEP’25 hasil komitmen dan prestasi ditunjukkan sepanjang berlangsung program,” menurut Dr. Mohd Zuwairi.

Penganjuran program turut mendapat kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah dan Sekolah Kebangsaan Batu 8 Changloon.

Antara lain, ISEP’25 menjadi mekanisme untuk pemahaman dan pertukaran budaya antara mahasiswa dan salah satu kaedah integrasi sosial apabila mahasiswa antarabangsa dan komuniti membina persahabatan dan rangkaian.

Ia juga menjadi satu pendedahan kepada komuniti setempat kepada budaya global selain menggalakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa terlibat serta mempromosikan imej positif institusi pendidikan tinggi tempatan dan antarabangsa.

Dan paling utama, ISEP’25 menjadi ruang yang menggalakkan semangat berpasukan dan bekerjasama menerusi aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan sepanjang berlangsung program itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD