fb fb fb fb fb

Op Taring: 360 individu ditahan, rampasan cecah RM291.6 juta

Foto PGA Sarawak

KUCHING, 7 Julai- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatat nilai rampasan sebanyak RM291.6 juta menerusi 245 kes sepanjang pelaksanaan Op Taring sejak 1 Januari lepas.

Komander PGA Briged Sarawak, SAC Dr. Che Ghazali Che Awang berkata, seramai 360 individu termasuk 91 warga asing telah ditahan, selain hampir 200 buah kenderaan pelbagai jenis turut disita.

"Antara kejayaan terbaharu adalah rampasan bernilai RM1.166 juta menerusi lima operasi berasingan yang dijalankan minggu lalu.

"Rampasan tersebut melibatkan produk makanan sejuk beku di dua lokasi di Bau, minyak diesel di Serian, serta gula dan rokok putih di dua lokasi di Tebedu.

"Dalam operasi itu, lima lelaki tempatan berumur antara 25 hingga 52 tahun telah ditahan, dan empat kenderaan pelbagai jenis turut disita," katanya menerusi kenyataan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM