fb fb fb fb fb

Penduduk risau kemunculan Pak Belang

Penduduk kampung menunjukkan rakaman kemunculan Harimau Belang

GUA MUSANG, 7 Julai -Hampir seribu penduduk dan pekerja ladang kawasan Kampung Sungai Relai,Kelantan kerisauan dengan kemunculan seekor harimau belang.

Sejak dua hari lepas, Pak belang itu didakwa melintas ke jalan utama Gua Musang-Kuala Berang dan berkeliaran di kawasan ladangan dan kebun getah milik penduduk.

Reaksi penduduk kampung, Azrul Azhar berkongsi berkenaan kejadian tersebut.

"Kejadian seperti ini belum pernah berlaku sebelum ini. Kebiasaannya, harimau ditemui di kawasan hutan. Namun, baru-baru ini, terdapat laporan daripada penduduk yang menjumpai harimau di kawasan kebun getah ketika sedang menoreh. Terbaharu, seekor harimau belang dilihat melintas berhampiran sebuah pondok di kawasan ladang. Ini menunjukkan bahawa harimau belang kini telah mula memasuki kawasan kampung. Situasi ini amat membimbangkan dan membahayakan penduduk di kawasan berhampiran. Sebelum ini, kita hanya berdepan dengan kehadiran gajah dan harimau kumbang, yang jarang sekali muncul di kawasan penempatan manusia," katanya ketika ditemui media.

Sementara itu, Mustapa Yaacob turut berkongsi mengenai kebimbangannya.

"Kami berasa bimbang dengan situasi ini. Sebaiknya pihak PERHILITAN turun padang untuk memantau keadaan dan, jika perlu, mengambil tindakan seperti menangkap haiwan liar tersebut. Kehadiran harimau ini sangat berbahaya, lebih-lebih lagi kerana terdapat kanak-kanak yang bermain di sekitar kawasan kampung. Sebelum ini pun, gajah pernah menceroboh sehingga ke belakang rumah penduduk." ujarnya.

Mengikut rekod, Kampung Sungai Relai terletak lebih 50 kilometer dari bandar Gua Musang.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN