fb fb fb fb fb

Malaysia tekad perkukuh tadbir urus AI dan ekonomi digital di sidang BRICS

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Rio De Janeiro / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak BRICS hari ini bahawa Malaysia menyokong tadbir urus Kecerdasan Buatan (AI) beretika serta sistem perdagangan global berasaskan peraturan disifatkan sebagai langkah strategik memperkukuh daya saing ekonomi digital negara, selaras dengan agenda Madani.

Menurut Timbalan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Fasiliti & Digital) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mustazar Mansur, sektor AI berpotensi besar bukan sahaja dari sudut pelaburan, malah sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi digital negara yang lebih inklusif.

“Sektor AI sebenarnya mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada nilai ekonomi yang dijangka mencecah lebih daripada RM2 bilion menjelang tahun 2030, khususnya melalui penglibatan dalam pembinaan infrastruktur digital seperti pusat data dan perkhidmatan pengkomputeran awan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapan di BRICS Business Forum turut menegaskan Malaysia komited kepada AI beretika, selain menyokong cadangan penubuhan AI Safety Network dan kerjasama serantau sebagai langkah mengurangkan ketidaksamarataan serta melindungi hak asasi manusia.

Mengulas lanjut, Dr. Mustazar menjelaskan teknologi digital dan AI juga boleh meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan, sejajar sasaran Malaysia menjadi hab digital ASEAN.

“Penggunaan teknologi seperti sistem pembayaran digital, pemantauan melalui dron dan bantuan AI dapat meningkatkan kecekapan tatakelola serta pengurusan kerajaan, sekali gus mengurangkan pembaziran dan ketirisan dalam ekonomi.” jelasnya.

Malaysia secara rasmi menjadi rakan BRICS mulai 2025, manakala ASEAN disasarkan mencapai nilai ekonomi digital AS$2 trilion menjelang 2030.

Langkah itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai jambatan strategik antara ASEAN, Asia Barat dan Afrika, tetapi juga selaras komitmen kerajaan Madani untuk membangunkan ekonomi digital yang lebih saksama, mampan dan berdaya saing.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN