ISKANDAR PUTERI, 7 Julai- Johor melakar sejarah baharu, selepas melancarkan fasiliti ‘Vertical Indoor Farm’ yang terbesar di Malaysia, melibatkan pelaburan kira-kira RM40 juta.
Projek ladang menegak tertutup itu dibangunkan hasil kerjasama Farmbyte, sebuah anak syarikat milik negeri, dengan syarikat agrikultur dari Singapura, Archisen.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, fasiliti moden di Iskandar Puteri itu memanfaatkan teknologi pertanian persekitaran terkawal (CEA), dalam menghasilkan produk sayuran sepanjang tahun, tanpa mengira keadaan cuaca.
"Ini sejarah, ini adalah sejarah untuk kedua-dua negara, apabila kita membina sebuah fasiliti yang berkeluasan 50,000 kaki persegi. Insha-Allah, kita melihat mereka juga bercadang untuk memperluas dan mereka juga bercadang untuk membina satu ekosistem supaya vertical farming ini boleh lagi berjaya dengan baik, mengambil kira mendapat bantuan semua pihak", katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Projek Vertical Indoor Farm, di Iskandar Puteri, Johor.
Projek itu juga menyokong Dasar Keterjaminan Makanan Negara, didorong jangkaan pengeluaran hasil mencecah 306,000 kilogram, setahun.