KUALA LUMPUR, 29 Julai – Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian tidak perlu bimbang mengenai peluang pekerjaan kerana kadar kebolehpasaran mereka berada pada tahap yang sangat tinggi.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kadar kebolehpasaran graduan TVET pertanian mencatatkan rekod tertinggi iaitu 81.23 peratus pada tahun 2024.
Beliau menyeru golongan belia untuk menyertai program TVET pertanian sebagai langkah memperkasa sektor pertanian negara.
“Kementerian sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menarik minat golongan muda menceburi bidang pertanian. Antara usaha kami ialah mengurangkan halangan atau alasan daripada belia untuk terlibat dalam bidang ini.
“Graduan TVET sektor pertanian sebenarnya tidak perlu risau mengenai peluang pekerjaan kerana sebahagian pelatih sudah menerima tawaran pekerjaan walaupun belum menamatkan kursus. Ini membuktikan peluang pekerjaan sentiasa wujud dalam bidang ini,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif di Angkasapuri.
Arthur turut menjelaskan bahawa persepsi kurang tepat mengenai peluang pekerjaan dalam bidang pertanian perlu diubah.
“Biasanya orang ada persepsi kalau ambil kursus TVET dalam bidang pertanian, peluang pekerjaan tidak ada. Sebenarnya ada. Kajian menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan TVET kita sangat tinggi, meningkat daripada 70.3 peratus pada tahun 2022 kepada 81.23 peratus pada tahun lalu.
“Dalam beberapa bidang, kadar kebolehpasaran lebih tinggi seperti sektor unggas 100 peratus, sektor ruminan 93 peratus dan penyenggaraan jentera 92 peratus. Ini bermakna graduan TVET sektor pertanian tidak perlu risau tentang peluang pekerjaan,” jelasnya.
Beliau menambah persepsi negatif terhadap kerjaya sektor pertanian sudah tidak relevan memandangkan kebolehpasaran graduan TVET kekal tinggi sejak 2022.
“Kami mempunyai 16 institut latihan bertauliah di bawah kementerian yang menawarkan pelbagai program pertanian dan agro makanan. Lebih menarik, semua kos pengajian termasuk yuran, penginapan, makan minum dan elaun ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.