fb fb fb fb fb

KPKM fokus tingkat sara diri beras, daging dan perikanan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus melaksanakan langkah strategik bagi mengimbangi kadar import dan eksport sumber makanan negara demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, antara fokus utama ialah memastikan keterjaminan makanan melalui pengurangan kebergantungan terhadap import.

“Defisit perdagangan agro makanan kita masih terlalu tinggi, jadi kita melihat perkara itu menerusi dua aspek. Pertama, keterjaminan makanan untuk memastikan kecukupan makanan bagi rakyat Malaysia.

“Kita fokus kepada keperluan asas seperti beras. Kadar sara diri beras dalam negara ketika ini sekitar 55 peratus dan kita masih bergantung kepada beras import. Sasaran kita ialah mencapai kadar sara diri beras 80 peratus menjelang 2030, sekali gus mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap beras import.

“Selain itu, kita usaha meningkatkan hasil keluaran padi dalam negara dengan meluaskan sawah, meningkatkan infrastruktur serta kecekapan penanaman,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif di Angkasapuri.

Beliau turut menyentuh kadar sara diri sektor daging seperti lembu dan ayam telur yang kini sekitar 16 peratus, dengan sasaran meningkatkan kepada 50 peratus menjelang 2030 melalui pendekatan baharu termasuk meningkatkan populasi ternakan.

Sektor perikanan yang sudah mencapai 90 peratus kadar sara diri pula akan diperkasa secara komprehensif bagi membolehkan hasilnya dieksport.

Arthur berkata, usaha mengurangkan defisit perdagangan agro makanan juga akan dipacu dengan mengenal pasti buah-buahan bernilai tinggi untuk eksport seperti durian dan nanas.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE