KUALA LUMPUR, 7 Julai- Golongan profesional yang mempunyai kepakaran dan ilmu disarankan agar berganding bahu dengan kerajaan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang pengurusan harta selepas kematian, yang masih dianggap lemah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, perkara itu penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta mengelakkan berlakunya isu harta beku dan tidak dituntut, yang akhirnya merugikan umat Islam.
"Kita memerlukan juga kerjasama daripada profesional hari ini, peguam-peguam yang mempunyai kepakaran, kemahiran, ilmu di dalam bidang pengurusan harta Islam ini.
"Saya ingin ajak semua untuk bersama-sama berganding tenaga, berganding bahu untuk kita memberikan kefahaman termasuk daripada aspek teknikalnya.
"Kita ingin lihat harta itu tidak beku, tetapi harta itu dapat memberikan manfaat kepada lebih ramai, terutamanya waris-waris," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak Hibah dan Pengamanahan Kebangsaan 2025 di sini.
Tambahnya, usaha berterusan juga giat dilaksanakan oleh agensi-agensi agama seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Institut Kefahaman Islam Malaysia menerusi penganjuran seminar, sesi dialog serta program advokasi bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat.
Hampir 100 peserta terlibat, terdiri daripada pemain industri seperti firma guaman, syarikat takaful, serta pengamal undang-undang syariah dan sivil.
Antara topik yang dibincangkan termasuk Konsep Amanah dalam Pemilikan Tanah, Hibah Bersyarat dalam Takaful, dan Pengurusan Wakaf.