fb fb fb fb fb

Dr. Ani kini terajui Majlis Perbandaran Sepang

Foto RTM

SEPANG, 7 Julai- Dr. Ani Ahmad hari ini secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Ia menyaksikan pelantikan Yang Dipertua MPSepang wanita yang pertama kalinya.

Dr. Ani menzahirkan komitmen untuk memahami keperluan kawasan dan meneruskan agenda pembangunan yang mampan serta menyeluruh bagi Sepang.

"Hari ini merupakan hari pertama saya secara rasmi memulakan tugas di Sepang. Sebagai seseorang yang baharu menjejak kaki ke sini, saya masih dalam proses meneliti keadaan semasa.

"Banyak perkara saya perlu pelajari terlebih dahulu," katanya menerusi sidang media di sini.

Beliau yang sebelum ini berkhidmat di Majlis Perbandaran Ampang Jaya menyifatkan pengalaman di Ampang sebagai satu persediaan penting, namun menegaskan bahawa landskap serta cabaran di Sepang amat berbeza.

"Sepang ini mempunyai kawasan yang luas dan kira-kira 50 peratus daripadanya masih belum dibangunkan. Namun daripada segi pembangunan sedia ada, ia kelihatan lebih teratur," tambah beliau.

Beliau turut berkongsi hasrat awal untuk menjadikan Sepang sebagai kawasan hijau, mampan, bersih dan lestari.

Dalam masa sama, fokus akan diberikan kepada beberapa aspek termasuk pengurusan pelancongan, perkhidmatan awam berkualiti, serta penerapan elemen teknologi maklumat dan komunikasi.

Beliau turut menyentuh keperluan untuk menangani isu kebersihan seperti pengurusan sisa pepejal dan masalah lalat, yang memerlukan kerjasama strategik dengan agensi dan jabatan kerajaan berkaitan.

"Masalah seperti lalat dan sampah kadangkala berpunca dari luar kawasan. Jadi kerjasama rentas agensi akan menjadi tumpuan penting," jelas beliau.

Dr. Ani juga menyatakan beliau memerlukan tempoh sekurang-kurangnya sebulan hingga tiga bulan untuk meneliti segala maklumat dalaman dan laporan teknikal sebelum memformulasikan perancangan jangka panjang yang lebih menyeluruh.

“Saya akan cuba jalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan telus. Insya-Allah, kita akan ada bengkel dalam masa terdekat untuk menyemak semula visi dan pelan strategik sedia ada,” katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM