KUALA LUMPUR, 7 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mengamalkan pendekatan diplomasi kuasa lunak dalam lawatan rasmi tiga hari beliau di Itali, Perancis dan Brazil.
Pensyarah Institut Jeffrey Cheah di Asia Tenggara, Profesor Shakila Yacob berpandangan pendekatan berkenaan mencerminkan usaha strategik Malaysia dalam mempelbagaikan rakan dagang ekonominya di tengah-tengah persaingan sengit kuasa besar dunia.
"Langkah strategik ini juga penting dalam memperkukuh pendekatan Malaysia dalam mengutamakan hubungan multilateral dan dasar yang tidak berpihak.
"Pendekatan diplomasi Perdana Menteri ini amat jelas apabila membuat lawatan sebegini kerana ia dapat memperkukuhkan kerjasama ekonomi dan dialog geopolitik yang diadakan; dapat meletakkan Malaysia sebagai satu rakan yang dinamik, berdiri dengan sendiri tanpa memihak kepada mana-mana blok kuasa," jelasnya ketika dihubungi RTM.
Mengulas lanjut katanya, ruang diplomasi berasaskan dasar negara yang tidak memihak mana-mana blok kuasa telah dimanfaatkan sebaiknya oleh Datuk Seri Anwar dalam lawatan rasmi beliau ke tiga negara.
"Kita berharap lawatan ini akan mendorong pelaburan langsung asing daripada ketiga-tiga negara tersebut memandangkan ketiga-tiga negara itu mempunyai kekuatan ekonomi yang tersendiri.
"Misalnya Perancis merupakan rakan strategik Malaysia dalam sektor pertahanan, teknologi tinggi. Maka wujud potensi untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang baharu seperti tenaga hijau dan pengangkutan elektrik," ujarnya lagi.
Selain Brazil, Malaysia turut berpotensi memperluaskan jaringan kerjasamanya dengan Itali dan Perancis dalam pelbagai bidang.
"Pasti akan ada kesan limpahan yang positif dalam bidang sosial, bidang pelancongan dan peningkatan kerjasama dalam bidang pendidikan dan budaya. Antara universiti Malaysia dan Perancis, yang boleh menarik lebih ramai pelajar antarabangsa," jelas beliau.
Sementara itu, beliau turut menekankan pentingnya tindakan susulan selepas lawatan ke tiga negara berkenaan berakhir bagi memastikan kelangsungan hubungannya dalam tempoh jangka masa panjang.
"Apakah langkah-langkah diambil oleh negara kita Malaysia bagi mengekalkan hubungan ini dalam masa jangka panjang. Apakah mekanisme yang dibentuk untuk mengekalkan hubungan ini? Malaysia harus bersedia terutamanya komitmen ekonomi.
"Harus menyelaraskan polisi, tindakan susulan yang konsisten dengan negara terlibat. Harus ada penyelesaian konkrit supaya diplomasi kuasa lunak ini menjadi satu asas kerjasama antarabangsa yang dapat bertahan lama," ujarnya.