KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Enam finalis termasuk Qariah Negara, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi, melengkapkan penyertaan 71 peserta dari 49 negara pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa Ke-65 (MTHQA).
Ribuan penonton memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sejak 5 petang bagi menyokong wakil negara itu.
“Alhamdulillah, secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan sebentar tadi. Saya reda dengan apa sahaja keputusan,” katanya kepada JAKIM.
Menyertai buat kali pertama di peringkat antarabangsa, Wan Sofea berhasrat membuka kelas taranum untuk belia jika diberi peluang.
MTHQA 65 menawarkan RM40,000 kepada Johan Qari dan Qariah, RM30,000 kepada Naib Johan, dan RM20,000 bagi tempat ketiga, beserta hadiah iringan, cenderamata dan sijil.
Nilai sama turut diperuntukkan untuk kategori hafazan.
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 malam ini.