fb fb fb fb fb

AAIMS 2025 bakal pacu pelan tindakan AI, perkukuh aspirasi Malaysia sebagai peneraju

Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia (AAIMS) 2025 akan menjadi input kepada Pelan Tindakan Kecerdasan AI Kebangsaan 2030 yang akan membantu Malaysia mencapai aspirasi menjadi peneraju kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital di Asia Tenggara.

Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar berkata AAIMS 2025 yang dijadual berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) bermula 12 hingga 13 Ogos ini merupakan persidangan AI pertama seumpamanya bagi rantau ASEAN.

“Sebelum ini kita tidak ada (persidangan AI seperti ini), jadi kita nak lihat ia berterusan kerana ia bukan sahaja satu persidangan di mana kita tunjuk teknologi, tetapi merupakan platform perbincangan antara menteri, perkongsian maklumat dan pengetahuan daripada pihak industri dan pihak akademik.

“Sesuai dengan tema yang menumpukan kepada keperluan pengguna pada masa depan, sidang kemuncak itu akan mengetengahkan kebaikan AI untuk manusia dan mengurangkan kesan buruk AI ke atas manusia,” katanya pada Program Ruang Bicara Aspirasi Ekonomi bertajuk ‘AAIMS: AI Pemacu Ekonomi Digital ASEAN’ terbitan Bernama TV, pada Jumaat.

Fabian berkata AAIMS 2025 yang bertemakan "Memacu Pembangunan AI yang Mampan dan Inklusif di ASEAN” adalah bersempena dengan Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN dan dijangka dihadiri lebih 1,500 delegasi termasuk Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Menurutnya, sidang kemuncak itu diadakan bertujuan antara lainnya untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju transformasi AI di ASEAN selain mengukuhkan kerjasama serantau bagi memajukan rangka kerja AI melalui rangka kerja AI ASEAN serta mewujudkan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN.

“Selain itu, kita ada rancangan untuk menarik pelaburan strategik jadi kita juga hendak memberi keyakinan kepada pelabur luar yang Malaysia telah bersedia untuk menjadikan hab AI serantau. Kita juga akan mempromosikan program pembangunan dengan liputan AI yang menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata dalam menghadapi kemelut geopolitik antara dua kuasa besar dunia (AS dan China), Malaysia dan ASEAN perlu memanfaatkan peluang dalam AI.

“Terdapat keperluan mendesak (disebabkan masalah geopolitik ini) untuk kita dalam ASEAN bekerjasama secara serantau bagi menghadapi cabaran AI,” kata Fabian.

Menerusi pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menetapkan hala tuju jelas untuk meneraju ekonomi Asia Tenggara dalam AI, teknologi digital dan industri tenaga boleh baharu.

Anwar berkata Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 akan memacu pembangunan bakat tempatan, penyelidikan dan pengkomersialan teknologi bagi menyokong adaptasi AI secara meluas.

Selain itu, kata beliau, jaringan 5G disasar mencapai 98 peratus liputan di kawasan berpenduduk dan perindustrian termasuk desa menjelang 2030, yang disasar melahirkan sekurang-kurangnya 5,000 usahawan digital. -BERNAMA

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN