fb fb fb fb fb

Guru pondok perlu kuasai AI elak ketinggalan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Ijtima' MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di Dewan Profesional, Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Machang hari ini. Foto- BERNAMA

MACHANG, 9 Ogos - Guru sekolah pondok di negara ini disaran menguasai teknologi dan kecerdasan buatan (AI) agar tidak ketinggalan dalam arus perkembangan semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kegagalan menguasai teknologi baharu dan AI akan menyebabkan golongan itu sukar berdepan cabaran masa kini.

“Kalau guru-guru pondok tidak menguasai AI, kita akan kalah kerana ini cabaran baharu. Dahulu cabaran datang daripada penjajahan, sekarang ia datang daripada pemikiran AI. Jika kita tidak kuasai, orang lain akan kuasai dan anak-anak kita akan belajar mengikut kerangka luar seperti Amerika Syarikat atau Perancis. Kita mahu ubah kerangka itu supaya anak-anak ada ketahanan jiwa, kefahaman Islam serta kecerdasan dan kebijaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang, Kelantan.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata sudah tiba masanya benteng pertahanan sejarah umat Islam dibangunkan semula bagi menangkis pengaruh sekular.

Beliau memaklumkan telah memanggil pegawai Kementerian Kewangan bulan lalu bagi mencari kaedah memilih sekolah pondok untuk dijadikan benteng selari dengan konsep MADANI.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN