MACHANG, 9 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggali semula kubur pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir secepat mungkin bagi melengkapkan proses siasatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses tersebut dilakukan mengikut arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.
"Tentunya fokus polis adalah untuk mengemas kini siasatan, mengumpul semua bukti, dan dalam menjalankan tugas ini.
"Pihak polis tidak akan berkompromi soal prinsip keadilan kerana kita perlu berlaku adil kepada semua yang terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Ijtimak MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Machang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Saifuddin Nasution memberi jaminan proses siasatan itu akan dilakukan segera dan pihaknya akan melaporkan perkembangan terbaharu dari semasa ke semasa.
Semalam media melaporkan, AGC mengarahkan pihak berkuasa menggali semula kubur Zara Qairina, yang dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama.
Menurut AGC, tindakan terbaharu itu antara beberapa arahan yang dikeluarkan untuk siasatan secara menyeluruh.
Keperluan untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah itu.
BERITA BERKAITAN: