KUALA LUMPUR, 7 Julai – Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara bukan sekadar aktiviti protokol atau 'jalan-jalan' seperti yang disalah tafsir oleh segelintir pihak, sebaliknya merupakan langkah strategik untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan merintis kerjasama perdagangan yang menguntungkan negara.
Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, lawatan ke negara-negara kuasa besar adalah tuntutan semasa dalam landskap ekonomi global yang kian mencabar, khususnya dalam menghadapi dasar ekonomi agresif seperti tarif perdagangan oleh Amerika Syarikat.
“Amerika Syarikat kini mengamalkan dasar ekonomi yang bersifat agresif terhadap ekonomi luar, yang memberi kesan langsung kepada rantaian dagangan global. Oleh itu, Malaysia perlu mengambil pendekatan pragmatik iaitu berunding, membina perjanjian perdagangan dua hala dan membuka lebih banyak akses pasaran,” ujarnya kepada RTM.
Beliau menjelaskan bahawa aktiviti rundingan, pertemuan diplomatik dan menandatangani perjanjian perdagangan hanya boleh dicapai melalui interaksi fizikal antara pemimpin negara.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menerusi hantaran di laman Facebook hari ini menafikan tuduhan segelintir pihak daripada blok pembangkang yang mendakwa lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara sekadar ‘jalan-jalan’.
Beliau menegaskan bahawa lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda besar negara yang melibatkan kepentingan diplomatik dan kerjasama strategik.