fb fb fb fb fb

Polis sahkan tiada unsur langgar lari dalam insiden enam sekeluarga

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim

ALOR SETAR, 7 Julai – Polis percaya sebuah kereta yang dinaiki enam sekeluarga dan ditemukan tenggelam di Sungai Korok, Jitra pagi tadi telah terbabas sendiri ke dalam sungai itu, berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata siasatan di lokasi mendapati tiada kesan brek atau kesan perlanggaran yang menunjukkan kemungkinan pelanggaran dengan kenderaan lain.

“Pada pagi ini, 7 Julai, kita menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terlihat sebuah kenderaan tenggelam di Sungai Korok. Polis segera menghubungi pihak bomba untuk bantuan mengeluarkan kenderaan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati terdapat enam mayat dalam kenderaan tersebut yang dikenal pasti sebagai sekeluarga berdasarkan laporan kehilangan yang dibuat oleh adik kepada salah seorang mangsa.

“Mangsa dikenal pasti berdasarkan laporan kehilangan yang dibuat awal pagi ini oleh adik lelaki kepada mangsa. Beliau memaklumkan, abangnya keluar dari rumah bersama isteri dan empat anak sekitar pukul 5.30 pagi dan gagal dihubungi selepas itu," katanya.

Kesemua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk proses bedah siasat.

Mohd Radzi turut menegaskan tiada unsur kemalangan lain dikesan di tempat kejadian.

“Tiada kesan brek, cebisan kenderaan, atau tanda pelanggaran. Berdasarkan keadaan lokasi, kita percaya kenderaan terbabit terbabas sendiri ke dalam sungai. Buat masa ini, tiada penglibatan kenderaan lain dalam insiden ini,” jelasnya.

Kes tersebut kini diklasifikasikan sebagai kemalangan maut dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sementara itu, sebanyak enam buah van jenazah sukarelawan digerakkan bagi membantu membawa pulang jenazah enam sekeluarga yang maut dalam insiden tersebut.

Setiausaha Pertubuhan Sukarelawan Van Jenazah, Mohd Farizwan Ahmad Rashi berkata pihaknya turut membantu dalam pengurusan mandi dan mengkafankan jenazah bagi memudahkan urusan pengebumian.

0707 KDH POLIS SIASAT LEMAS 6 BERANAK 2Setiausaha Pertubuhan Sukarelawan Van Jenazah, Mohd Farizwan Ahmad Rashi

“Sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian, kami segera menghubungi waris mangsa untuk menawarkan bantuan. Khidmat kami merangkumi pengurusan lengkap jenazah hingga ke tanah perkuburan,” katanya.

Menurut beliau, tiga daripada van jenazah tersebut adalah milik Pertubuhan Sukarelawan, manakala selebihnya disediakan oleh Pusat Komuniti Islam Murtadha Dakwah Centre (MADAD).

Kesemua jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid At-Taqwa, Air Hitam, Jerlun, Kedah sekitar pukul 10.00 malam ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN