KUALA LUMPUR, 29 Julai – Rakyat Thailand dan Kemboja menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN memediasi gencatan senjata antara kedua-dua negara itu.
Melalui ruangan komen di laman Facebook rasmi Perdana Menteri, ramai warga kedua-dua negara menyatakan terima kasih atas kepimpinan Malaysia dalam menyelesaikan konflik secara aman.

Antara komen yang ditinggalkan oleh rakyat Thailand
Adisak Theeranuphattana dari Thailand menulis, “Terima kasih, Perdana Menteri Anwar, atas kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang memudahkan penyelesaian damai antara Thailand dan Kemboja. Ini satu pencapaian besar bagi rantau kita yang menegaskan komitmen bersama terhadap kemanusiaan, diplomasi dan dialog membina.”
Warga Kemboja, Lynin Thy pula menyatakan, “Rakyat Kemboja amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, kerana mengambil inisiatif menyelaras dan menganjurkan mesyuarat penting ke arah gencatan senjata antara kedua-dua negara.”
Sementara itu, Sokheng Thourk dari Kemboja turut menulis, “Rakyat Kemboja berterima kasih kepada Perdana Menteri yang dihormati kerana membawa keamanan dan membantu lebih 300,000 penduduk di sempadan kedua-dua negara.”
Antara komen yang ditinggalkan di laman FB Anwar Ibrahim
Tidak kurang juga rakyat Malaysia yang tumpang berbangga dengan langkah berani Perdana Menteri itu, yang disifatkan sebagai bukti kesungguhan Malaysia memacu diplomasi serantau dan memperkukuh keamanan melalui dialog.
Inisiatif Malaysia yang berjaya meyakinkan kedua-dua pihak mencapai persetujuan gencatan senjata dianggap sebagai satu detik bersejarah dan membuktikan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh keamanan serantau melalui pendekatan diplomasi.