fb fb fb fb fb

Kerjasama strategik Google, Content Forum perkukuh keselamatan digital

Penyertaan rasmi Content Forum ke dalam Program Priority Flagger Google dan YouTube.

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Dalam usaha memperkukuh keselamatan kandungan digital di Malaysia, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum) hari ini diumumkan sebagai peserta baharu dalam 'Program Priority Flagger Google dan YouTube'.

Program ini membolehkan organisasi terpilih melaporkan kandungan yang melanggar dasar secara terus kepada Google, melalui saluran khas yang memberi keutamaan kepada tindakan pantas.

Di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Content Forum berperanan sebagai badan kawal selia kendiri industri kandungan media.

Penyertaan ini membolehkan forum tersebut membantu Google dan YouTube mengenal pasti kandungan bermasalah, sambil mempertimbangkan konteks budaya dan sensitiviti tempatan.

Pengarah Negara Google Malaysia, Farhan S. Qureshi berkata, kerjasama dengan Content Forum merupakan langkah penting dalam menambah baik ketelusan dan keselamatan kandungan digital di negara ini.

“Kerjasama ini mengukuhkan keupayaan kami bertindak terhadap kandungan yang melanggar dasar secara lebih relevan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum, Mediha Mahmood, pula menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan satu langkah penting dalam menetapkan standard industri dan memperkasa komuniti digital melalui tanggungjawab bersama.

Kerjasama ini dijangka menyumbang secara langsung kepada persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab di Malaysia.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI