PUTRAJAYA, 28 Julai - Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais hari ini mengangkat sumpah sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman, Putrajaya.
Turut mengangkat sumpah Datuk Azizah Nawawi yang dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Rayuan serta Hakim Mahkamah Tinggi turut menyaksikan pelantikan enam Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi.
Istiadat berkenaan turut disaksikan Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim serta bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Datuk Abu Bakar, 63, menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara pada 1987, sebelum berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) dari 1987 hingga 1990.
Beliau kemudian dilantik sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pada 1990, sebelum menyandang jawatan Peguam Kanan Persekutuan di Bahagian Sivil, Jabatan Peguam Negara antara 1995 hingga 2000.
Selain itu, pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selama tiga tahun bermula 2016, selain di Mahkamah Tinggi Seremban dari 2017 hingga 2018.
Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dari 2019 hingga 2023, kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan sehingga kini.