fb fb fb fb fb

AS hargai Anwar kerana jadi orang tengah gencatan senjata Kemboja–Thailand

FOTO FB U.S. Department of State

KUALA LUMPUR, 29 Julai -  Amerika Syarikat (AS) memuji kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjadi orang tengah kepada persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Thailand dan Kemboja.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata AS menyambut baik pengumuman gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang diumumkan pada Isnin.

Dalam kenyataan rasminya, Rubio menyebut Amerika Syarikat menyatakan penghargaan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menjadi tuan rumah dan memimpin rundingan yang membawa kepada persetujuan gencatan senjata itu.

“Presiden Trump dan saya komited terhadap penghentian segera keganasan dan mengharapkan kerajaan Kemboja dan Thailand menunaikan sepenuhnya komitmen mereka bagi menamatkan konflik ini.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau serta kesediaan menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata ini. Amerika Syarikat akan terus komited dan terlibat dalam proses anjuran bersama AS-Malaysia ini bagi menamatkan konflik tersebut,” menurut Rubio dalam kenyataan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE