KUALA LUMPUR, 13 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh atas kejayaan memenangi Anugerah Akademi (Oskar) ke-95 menerusi filem drama komedi “Everything Everywhere All at Once”.
Memuat naik ucapan dalam akaun Facebook, Anwar menyifatkan pencapaian pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Beliau berharap kejayaan ini terus memberi inspirasi kepada semua penggiat seni dan perfileman tempatan.
"Sekali lagi tahniah dan syabas daripada seluruh rakyat Malaysia," tambah Anwar.
Sementar itu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut mengucapkan tahniah kepada Yeoh atas kejayaan dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik.
Fahmi menerusi hantaran di Facebook rasmi menyifatkan kejayaan di majlis berprestij itu sebagai sangat membanggakan.
“Tahniah buat Tan Sri Michelle Yeoh atas kejayaan yang sangat membanggakan,” katanya yang berkongsi hantaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Dalam hantaran itu, FINAS merakamkan ucapan tahniah dan syabas buat Yeoh atas kejayaan mencipta detik bersejarah merangkul Anugerah Akademi.
(Foto FB Fahmi Fadzil)