KUALA LUMPUR, 13 Mac- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) memainkan peranan pencetus perubahan dalam misi membangunkan profesional beretika, holistik serta menguasai teknologi kontemporari.
Bagi tujuan itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyarankan agar UPTM memberikan tumpuan kepada usaha transformasi kemahiran tatacara kerja dan kualiti pengajaran warga kerja selari adunan terkini.
Katanya lagi, penerapan nilai budaya kerja cemerlang serta penyampaian perkhidmatan yang cekap serta berkesan akan menjadikan UPTM lebih disegani.
"Selain itu, bertepatan dengan keperluan dalam era Revolusi Industri 4.0, UPTM perlu melaksanakan transformasi digital agar terus relevan dengan keperluan semasa dan jangkaan pemegang taruh".
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
"Melalui penaiktarafan ini, sektor pendidikan tinggi Negara diperlihatkan pada landasan yang betul bagi merealisasi serta mendokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bagi Pendidikan Tinggi 2015-2025. UPTM harus merancang dan merangka pelan strategik terbaik untuk tempoh jangka pendek dan berterusan berkaitan kaedah penghasilkan graduan bertaraf global", katanya.
Sebelum diberi penarafan sebagai universiti penuh, UPTM sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Poly-Tech MARA.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dengan penaiktarafan itu, beliau juga mahu UPTM memperkasakan kerjasama strategik dengan pemain industri, agensi atau syarikat kerana langkah itu mampu meningkatkan peluang graduan mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.
(Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang/Foto RTM)