fb fb fb fb fb

PM ucap tahniah dua sekolah disenarai pendek terbaik dunia

(Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 16 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada dua buah sekolah tempatan yang disenarai pendek dalam kelompok 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023 (World’s Best School Prizes 2023).

Dua sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai, Pulau Pinang, yang tersenarai dalam kategori Inovasi manakala SK Kanchong Darat, Selangor, tersenarai dalam kategori Gaya Hidup Sihat.

"Salut saya buat warga pendidik dan anak-anak atas pencapaian ini, semoga terus mengorak langkah mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya menerusi Twitter rasmi.

World Best School Prizes 2023 anjuran T4 Education merupakan platform yang berpangkalan di United Kingdom.

Pemenang daripada lima ketegori iaitu Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Menangani Cabaran dan Menyokong Gaya Hidup Sihat, akan menerima sebahagian daripada sumbangan bernilai AS$250,000 (kira-kira RM1.15 juta) untuk mengembangkan dan mempertingkatkan lagi projek pendidikan mereka.

Pengumuman tiga finalis terbaik untuk setiap kategori akan dibuat pada September, manakala penyampaian hadiah dijadualkan Oktober.

(Anwar Ibrahim)

Media Baharu