KUALA LUMPUR, 11 Mei- Jasa dan pengorbanan insan bergelar ibu harus dihargai selain merupakan tunjang kekuatan keluarga dan simbol kasih sayang.
Justeru, para pemimpin negara menyatakan penghargaan mereka menerusi ciapan media sosial sempena sambutan Hari Ibu Sedunia, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kaum ibu berperanan dalam membentuk dan mencorak generasi akan datang yang berakhlak, berilmu dan mempunyai sifat belas ihsan sebagai pemimpin, kelak.
"Ibu bukan sekadar permaisuri dalam keluarga tetapi tunjang utama dalam membentuk serta mencorak generasi penerus yang berakhlak, berilmu dan bersedia memimpin masa depan dengan sikap belas yang tinggi beserta curahan bakti dan kasih sayang.
Saya mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada seluruh kaum ibu yang menjadi asas kepada lahirnya keluarga dan masyarakat yang bermaruah, unggul dan MADANI," kata Datuk Seri Anwar di Facebooknya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, menyifatkan tugas seorang ibu kini semakin mencabar, khususnya dalam mendepani kekangan ekonomi dan kemajuan teknologi yang pantas.
“Membesarkan anak-anak bukan tugas mudah. Namun, biarpun berdepan pelbagai cabaran, para ibu tetap berusaha memberikan yang terbaik demi keluarga,” katanya.
Beliau turut menggariskan beberapa inisiatif kerajaan sebagai sistem sokongan kepada golongan ibu, termasuk insentif khas i-Suri, Program PEKERTI, penyediaan taska di tempat kerja, serta pelaksanaan Dasar Wanita Negara.
Kesempatan sama turut dizahirkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
"Selamat Hari Ibu diucapkan buat semua yang telah menjadi sumber kekuatan, kasih sayang, dan pengorbanan yang tanpa henti. Tanpamu ibu, siapalah kami," ucap Datuk Fahmi.