GUA MUSANG, 11 Mei – Penduduk orang asli di Kampung Ceranok, Pos Simpor, di sini hidup dalam kebimbangan selepas seekor gajah liar memusnahkan hasil tanaman mereka.
Sejak dua minggu lalu, gajah berkenaan sering muncul pada waktu petang hingga pagi, merosakkan tanaman seperti pokok ubi kayu, ubi keledek, dan pisang.
Kejadian tersebut menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk yang terjejas dengan kerugian besar akibat perbuatan haiwan liar tersebut.
Menurut penduduk, Winson Bah Kuasan ancaman daripada haiwan liar seperti gajah dan binatang buas lain semakin ketara.
"Macam gajah, binatang buas dan sebagainya. Sekarang binatang buas memang suka ambil tanaman daripada kampung yang terdekat," katanya.
Seorang lagi penduduk, Sarina Hasan turut meluahkan rasa kecewa."Dua minggu ini tidak tidur. Macam ubi keledek dia rosakkan. Kami halau juga tapi dia tidak peduli datang lagi."
Sementara itu, ADUN Neggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menyatakan pihaknya telah menerima laporan dan akan berhubung langsung dengan pegawai perhilitan untuk menangani masalah itu dengan segera.
"Saya pastikan mereka akan bertindak dengan segera," katanya.
Kampung Ceranok, yang terletak hampir 100 kilometer dari Bandar Gua Musang, kini sedang berdepan dengan ancaman keselamatan dan kerugian hasil pertanian akibat serangan gajah liar tersebut.