fb fb fb fb fb

HRDMM: Komitmen Malaysia galak kerjasama sektor sumber manusia, tenaga kerja

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Mei- Penyertaan delegasi Malaysia dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pembangunan Sumber Manusia APEC ke-7 (HRDMM) pada tahun ini adalah penting bagi menzahirkan komitmen berterusan Malaysia dalam menggalakkan kerjasama serta mengeratkan hubungan dengan rakan ekonomi Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang terlibat dalam sektor sumber manusia, tenaga kerja dan keselamatan sosial.

Kementerian Sumber Manusia menerusi kenyataan memaklumkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim akan mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi ke Jeju, Korea Selatan bermula hari ini hingga 13 Mei, bagi menghadiri HRDMM.

Mesyuarat tersebut merupakan yang pertama diadakan selepas 11 tahun dengan kali terakhir berlangsung pada 2014 di Vietnam.

Mesyuarat bersempena APEC itu bertemakan 'Kemampanan Pasaran Buruh dan Pekerjaan Masa Hadapan' akan membincangkan dua topik utama tentang 'Pasaran Buruh yang Fleksibel dan Dinamik' serta 'Cabaran Pekerjaan Masa Hadapan dan Dasar Pasaran Buruh Aktif'.

Pada masa sama, beliau akan turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Buruh Thailand, Phipat Ratchakitprakam serta Setiausaha Buruh dan Kebajikan Hong Kong, Chris Sun bagi meneroka kerjasama strategik dua hala dalam bidang perburuhan serta pembangunan modal insan.

Hasil akhir sesi Mesyuarat ke-7 HRDMM ini, Sim dan rakan sejawat dijangka menghasilkan satu kenyataan bersama merangkumi topik seperti latihan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), penyertaan wanita dalam tenaga kerja, pemerkasaan golongan kurang upaya, aspek keselamatan serta kesihatan pekerja dan lain-lain.

ROSLINA BINTI DIN