fb fb fb fb fb

Program Derma Darah Bergerak, tingkat kesedaran orang ramai

Orang ramai yang turut serta dalam Program Derma Darah Bergerak

KANGAR, 11 Mei - Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Tuanku Fauziah menyasarkan sebanyak 80 kutipan pek darah menerusi program Derma Darah Bergerak.

Platform derma darah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat itu diperluaskan lagi menerusi program Perkampungan Sunnah ke-10 yang berlangsung pada 10 dan 11 Mei di Masjid Alwi, di sini.

Menurut Pegawai Perubatan, Jabatan Perubatan Transfusi, Dr Mohd Siddqi Abidin, jumlah kutipan darah dijangka melebihi sasaran berikutan sebanyak 56 pek darah telah berjaya dikumpul pada hari pertama program.

Beliau berkata, kesedaran dan keprihatinan orang ramai untuk tampil menderma darah juga memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi, khususnya bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan.

Pada masa ini, bekalan semua jenis darah berada pada tahap selamat di Hospital Tuanku Fauziah.

Bagaimanapun, pihak jabatan sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka.

Program derma darah ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis sebagai satu inisiatif tanggungjawab sosial berterusan bagi menambah stok darah di hospital tersebut.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE