KUALA LUMPUR, 10 Mei- Seramai lebih 200 peserta wanita, termasuk pelatih sukarela, mula melapor diri hari ini di Kem Regimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur bagi menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2.
Kem itu merupakan antara lokasi utama bagi pendaftaran peserta wanita dari seluruh negara, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan fasa kedua PLKN 3.0 yang berlangsung selama 45 hari bermula 11 Mei hingga 24 Jun 2025.
PLKN 3.0 menekankan latihan ketenteraan ringan, pembinaan karakter dan kemahiran asas dalam usaha melahirkan generasi muda yang berdisiplin tinggi, berdaya tahan dan berwibawa.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Yaacob Samiran, penyertaan dalam siri kali ini menunjukkan minat tinggi dalam kalangan belia wanita terhadap latihan bercorak ketahanan dan jati diri.
“Proses pendaftaran masih lagi berjalan dan insya-Allah, perkara ini akan berterusan sehingga dua ke tiga hari.
Mungkin hari ini tidak penuh sebab ada lagi yang masih dalam perjalanan, ada juga yang masih belum bersedia untuk sampai ke sini. Jadi, kita bagi mereka peluang untuk mereka mendaftar," katanya semasa ditemui, pagi tadi.
Sementara itu, bagi peserta, Nur Adila Syafinas Mohd Shafirdaus, Manissa Vikneswaran dan Ivyanna Errica Peter, masing-masing menyatakan keterujaan menyertai program tersebut sebagai peluang mencabar diri dan menimba pengalaman baharu.
"Saya sangat teruja sebab saya memang nak masuk PLKN. Sejak dulu lagi, teringin nak jadi askar sebab nak cabar diri sendiri. Tetapi, dengan ketinggian saya tak mencapai jadi tak dapatlah," kata Nur Adila.
"Saya berharap dapat capai banyak perkara. Pertama sekali, saya nak cari ramai kawan. Saya juga nak jadi lebih cergas, nak jaga kesihatan dan sertai semua aktiviti di sini dengan komitmen 100 peratus," ujar Manissa.
"Harapan saya supaya diri ini lebih matang dan juga disiplin. Usia pun sudah mencecah 17 tahun. Dalam PLKN ini banyak juga aktiviti lasak, saya pula memang minat dengan aktiviti-aktiviti sebegitu," kata Ivyanna peserta dari Sabah.
Dalam pada itu, pendaftaran bagi kategori lelaki juga diadakan di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah Pekan, Pahang, hari ini dengan sasaran lebih 300 peserta berdaftar.