(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan bantuan kepada
Sekolah Agama Rakyat Pulau Pinang)
KEPALA BATAS, 16 Julai- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah menggunakan kuasanya sebagai ketua kerajaan untuk mengkhianati Melayu.
Malah, selama lapan bulan kepimpinannya juga, beliau tidak pernah menzalimi bangsa dan mengkhianati amanah Melayu.
Beliau berkata kerjasama yang terjalin bersama parti lain termasuk parti bukan Islam sebenarnya bukanlah satu pengkhianatan, sebaliknya ia merupakan geopolitik negara.
"Selama lapan bulan saya tanya di Parlimen, apa saya buat yang khianati Melayu dan Islam? Adakah sebab saya sokong Ketua Menteri Pulau Pinang? Saya tak khianat, tapi saya terima kenyataan politik dan realiti. Saya mahu negara ini aman.
"Semua negeri lain, orang Melayu Islam memegang semua jawatan-jawatan utama kewangan, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Gabenor Bank Negara semua orang melayu Islam pegang, selamatkan negara ini. Jangan izin ada permusuhan kaum yang menyebabkan kita kembali runtuh kerana nilai kita dan kedangkalan ilmu", katanya.
(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim)
Meskipun begitu, beliau mengakui tidak semua senang dan boleh terima dengan cara tersebut, sedangkan apa yang dilakukan adalah untuk kepentingan rakyat.
"Mohon sister mengerti ya ada cara saya sampaikan tidak disenangi ada setengah orang saya pakai capal dia tak setuju, ada setengah orang saya pakai baju sampin dalam dia kata tidak elok, itu tidak mengapa.
"Tetapi satu perkara yang dia tidak boleh pertikai saya tidak guna kuasa saya sebagai Perdana Menteri atau Menteri Kewangan untuk mencuri duit negara, untuk zalim kepada rakyat, untuk khianati amanah dan untuk seperti mana difitnah memencilkan khianati Islam dan bangsa Melayu", katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Seminar Madani peringkat Pulau Pinang di Bertam Resort, Kepala Batas.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) Pulau Pinang.