fb fb fb fb fb

PM tiba di Brunei untuk lawatan rasmi dua hari

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini untuk lawatan rasmi dua hari ke Brunei.

Ini merupakan lawatan rasmi ke luar negara kedua Anwar sejak memegang jawatan perdana menteri.

Penerbangan khas membawa perdana menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada pukul 3.13 petang tadi.

Ketibaan Anwar dan Wan Azizah disambut Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah.

Perdana menteri diberikan sambutan rasmi di lapangan terbang dengan lagu kebangsaan Malaysia, ‘Negaraku’ diikuti lagu kebangsaan Brunei Darussalam, 'Allah Peliharakan Sultan'.

Perdana menteri kemudiannya memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Esok, perdana menteri dijadual menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.

Kedua-dua pemimpin dijangka mengambil peluang untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan, disamping mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Perdana menteri dan Sultan Brunei juga akan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Selain itu, perdana menteri akan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Brunei, malam ini.


(Esok, perdana menteri dijadual menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah
di Istana Nurul Iman)

Media Baharu